mutakhir

[UPDATE] Lambaian terakhir [METROTV]

Oleh Attirmidzie Rahman

“ANAK saya banyak kali melambai-lambai tangan sebelum bas yang dinaikinya bertolak malam tadi," itu saat terakhir yang dikongsi bapa kepada Munzirah Jalaludin.

Munzirah, 20, pelajar semester akhir jurusan Diploma Pengurusan Hartanah Universiti Teknologi MARA (UiTM) Seri Iskandar meninggal dunia apabila bas ekspres dua tingkat dinaikinya terbabas dan merempuh pembahagi jalan di Jalan Ipoh-Lumut berhampiran Batu Gajah Perdana, awal pagi tadi.

Jalaludin Ismail, 56, berkata, dia dimaklumkan mengenai kejadian ketika berada di Sekolah Menengah Ugama (SMU) Banggol Kulim awal pagi tadi.

Katanya, anak bongsu daripada tiga beradik itu sepatutnya tiba di UiTM Seri Iskandar hari ini bagi memulakan sesi pembelajaran selepas bercuti semester selama tiga bulan.

“Saya dihubungi pensyarah UiTM yang memaklumkan anak saya terbabit dalam kemalangan pagi tadi, namun tidak diberitahu mengenai keadaan sebenar kerana bimbang saya terkejut.

“Sebaik mengetahui saya membuat keputusan untuk ke sana bagi melihat sendiri keadaannya. Namun, dalam perjalanan itu baru saya diberitahu bahawa Munzirah sudah meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.

Jalaludin berkata, selama tiga bulan berada di rumah anaknya menunjukkan perubahan sikap apabila menjadi peramah selain banyak meluangkan masa bersama keluarga.

“Semasa dia bercuti di rumah dia menjadi seorang yang peramah walaupun sebelum ini dia memang kurang bercakap.

“Dia seorang anak yang kurang bergaul dan cuti semester ini pun dia tidak keluar ke mana-mana bersama rakan sebaliknya banyak meluangkan masa bersama keluarga.

“Tidak sangka perubahan itu menandakan dia akan pergi buat selama-lamanya dan kalau boleh diganti dengan nyawa saya pun saya mahu kerana dia bakal menghabiskan pengajiannya di sana pada semester ini," katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Desa Johan, Lubok Jong di Pasir Mas, hari ini.

Jenazah tiba jam 9 malam ini untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Apam Lati, malam ini.

Berita berkaitan:

2 maut, 15 cedera nahas bas ekspres

Disiarkan pada: September 2, 2018 @ 10:29pm
d