mutakhir

Tak kena penalti RM500 juta

Oleh Fahmy Azril Rosli

MALAYSIA dikecualikan daripada membayar penalti sebanyak RM500 juta susulan penangguhan dalam tempoh dua tahun bagi pembinaan projek kereta api berkelajuan tinggi Kuala Lumpur-Singapura (HSR).

Memetik laporan akhbar The Edge, keputusan itu dicapai hasil 'kata sepakat' antara kerajaan Malaysia dan Singapura.

Menurut laporan yang memetik sumber, penangguhan itu berkuat kuasa sehingga 31 Mei 2020.

“Perjanjian berjaya dicapai atas semangat kejiranan yang baik antara Malaysia-Singapura.

“Singapura mengambil maklum bahawa kedudukan kewangan Malaysia menjadi kekangan kepada pelaksanaan projek berkenaan,” menurut sumber itu.

Dalam laporan itu juga memaklumkan bahawa perjanjian asal untuk membina HSR yang ditandatangani pada 2016 tidak mengandungi peruntukan untuk menangguh projek berkenaan.

Pada 28 Mei lalu, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pernah mengumumkan pembatalan projek HSR sekali gus berkemungkinan perlu membayar pampasan sehingga RM500 juta kepada Singapura.

Dr Mahathir berkata, kerajaan memutuskan untuk menangguhkan HSR, bukannya membatalkan projek pengangkutan itu.

Perdana Menteri berkata kerajaan tidak menafikan keperluan projek pengangkutan awam berkenaan pada masa akan datang namun terpaksa menangguhkan komitmen pembinaan HSR susulan ketidakmampuan ekonomi negara.

Katanya, kos keseluruhan pembinaan HSR untuk laluan sepanjang 350 kilometer (km) dijangka menelan belanja RM110 bilion dan jumlah itu terlalu tinggi kerana kerajaan sedang berusaha mengurangkan hutang negara yang kini mencecah RM1 trilion.

Pada 30 Ogos lalu, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berada di Singapura bagi bertemu dengan Menteri Pengangkutan negara seberang tembok itu, Khaw Boon Wan dalam satu mesyuarat.

Mohamed Azmin berkata, perbincangan antara kerajaan bersama Singapura bagi projek HSR dilaporkan hampir selesai di mana bakal menguntungkan kedua belah pihak.

Disiarkan pada: September 2, 2018 @ 10:54pm
d