mutakhir

Roboh tiga, bina dua lagi sekatan baharu

Oleh Ramli Ibrahim

Gua Musang: Masyarakat Orang Asli akan membina semula dua lagi sekatan di laluan lori balak di Depak, Pos Tohoi dan Kuala Wok, Pos Pasik di sini.

Pembinaan dua lagi sekatan itu sebagai tindak balas terhadap tindakan pihak berkuasa merobohkan tiga sekatan dibina mereka dalam operasi minggu lalu.

Penduduk, Baharum Alang, 51, berkata, satu sekatan dibina semula di Kampung Cawas, Pos Bihai.

Katanya, Orang Asli tidak serik dengan operasi merobohkan sekatan pihak berkaitan kerana mereka akan membinanya semula.

“Kami tetap dengan pendirian sebelum ini yang sekatan akan terus dibina semula selagi kerajaan negeri tidak menyelesaikan isu tuntutan tanah adat,” katanya.

Seminggu lalu, lebih 200 kakitangan Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan bersama Pejabat Tanah dan Galian (PTG) negeri merobohkan serentak tiga sekatan berkenaan.

Sementara itu, Pengerusi Jaringan Kampung Orang Asli Kelantan (Jaringan), Mustafa Along berkata, pihaknya kesal kerana ada pihak mendakwa pembinaan sekatan itu dihasut badan bukan kerajaan (NGO) khususnya Jaringan.

Menurutnya, pembinaan sekatan berkenaan atas persetujuan masyarakat Orang Asli sebagai langkah menghalang aktiviti pembalakan dan pertanian di kawasan kampung mereka.

Disiarkan pada: September 3, 2018 @ 10:44am
d