mutakhir

Rahsia rumah 2 tingkat

Oleh Aizat Sharif

Alor Setar: Lebih 3,000 karton rokok seludup dan empat kenderaan pelbagai guna (MPV) klon bernilai RM3.2 juta dirampas anggota Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) yang menyerbu sebuah rumah di sini.

Komandan AKSEM Bukit Kayu Hitam, Asisten Superintendan Muhd Khairi Abdullah berkata, hasil risikan dijalankan Jumaat lalu, pihaknya kemudian menyerbu rumah berkembar dua tingkat di Taman Lavender, Jalan Lencong Barat di sini, yang dijadikan stor penyimpanan rokok dan MPV jam 5 petang kelmarin.

“Ketika serbuan, anggota AKSEM beberapa kali mengetuk pintu rumah sambil memanggil penghuni untuk membuka pintu, namun didapati tiada sesiapa pada waktu itu.

“Anggota AKSEM yang menyedari pintu rumah itu tidak berkunci kemudian memasuki premis berkenaan dan menjumpai sejumlah besar kotak mengandungi karton rokok dipercayai rokok putih yang cuba diseludup,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media di Pejabat AKSEM Kedah di Kompleks Kementerian Dalam Negeri (KDN), Anak Bukit di sini, semalam.

Turut hadir, Timbalan Komandan AKSEM Kedah, Abd Mutalif Ahmad.

Katanya, pemeriksaan selanjutnya kemudian menemui empat kenderaan MPV iaitu tiga daripadanya Toyota Estima dan sebuah Toyota Vellfire yang diletakkan di sekitar halaman rumah itu.

“Pemeriksaan pada MPV itu juga mendapati ia tidak berkunci dan terdapat sejumlah besar kotak yang mengandungi rokok putih serta keretek selain ia kenderaan klon hasil semakan dalam pangkalan data Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

“Kami percaya rumah ini dijadikan sebagai stor penyimpanan rokok seludup oleh anggota sindiket di mana bekalan rokok ini diperoleh dari Pulau Pinang.

Runner atau individu tertentu kemudian akan membawa bekalan rokok ini untuk diedarkan di kedai runcit atau pasar raya di sekitar Alor Setar,” katanya.

Muhd Khairi berkata, anggota sindiket itu dipercayai baru saja beberapa bulan menggunakan rumah berkenaan sebagai stor penyimpanan rokok seludup itu.

“Lokasi rumah berkenaan terpencil dari orang ramai serta di kawasan sekitarnya dipenuhi semak samun juga dipercayai memudahkan anggota sindiket menjalankan aktiviti mereka tanpa dikesan serta disyaki orang ramai.

“Malah, kami percaya mereka menjalankan kegiatan mereka pada waktu malam untuk mengelak daripada dikesan,” katanya.

Beliau berkata, kejayaan berkenaan rampasan terbesar AKSEM untuk tahun ini dan semua barang rampasan berkenaan kemudian diserahkan kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) negeri Kedah untuk siasatan lanjut.

Disiarkan pada: September 3, 2018 @ 11:26am
d