mutakhir

Belajar semula

Oleh Ramli Ibrahim

Gua Musang: Kisah tiga beradik yang tidak bersekolah sejak lebih setahun lalu kerana kemiskinan mendapat perhatian Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Gua Musang, semalam.

Tiga beradik itu, Nur Aidil Balqis Abdul Rahman, 13, Nur Alia Adila, 11, dan Nur Alia Apira, 9, tidak bersekolah selepas berpindah di Kampung Panggong Lalat di sini, dari Tumpat pada April tahun lalu kerana ibu bapa mereka tidak mampu menanggung perbelanjaan persekolahan mereka.

Balqis berkata, mereka dikunjungi wakil daripada PPD pagi semalam bagi menyelesaikan masalah mereka itu.

“Wakil PPD itu mengambil semua dokumen berkaitan termasuk sijil berhenti sekolah dan salinan sijil kelahiran dan berjanji masalah itu akan diselesaikan secepat mungkin.

“Berdasarkan janji pihak berkenaan, kami tiga beradik boleh meneruskan persekolahan dalam masa terdekat ini.

“Saya mungkin meneruskan persekolahan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Wangi manakala dua adik saya dapat belajar di Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Betis,” katanya ketika ditemui.

Masalah kemiskinan keluarga tiga beradik itu hingga terpaksa berhenti sekolah dilaporkan empat hari lalu dan mendapat menarik perhatian banyak pihak.

Nur Aidil Balqis bersama dua adiknya sebelum ini belajar di SK Pengkalan Kubur, Tumpat sebelum keluarganya berhijrah ke Gua Musang.

Menurutnya, mereka bertiga juga dijanjikan untuk tinggal di asrama bagi meringankan beban tanggungan ibu bapanya yang bergantung kepada pendapatan upah menoreh getah.

Sementara itu, ibunya, Zuraini Mat Rani, 31, pula berkata, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) daerah ini juga ada berkunjung ke rumahnya.

Dia berharap JKM akan menyalurkan bantuan bulanan kepada mereka bagi meringankan beban keluarga.

Selain itu, katanya, sumbangan daripada badan korporat juga ada diterima sebagai membantu perbelanjaan persekolahan mereka.

Disiarkan pada: September 3, 2018 @ 11:35am
d