mutakhir

Pembantu tadbir didakwa menipu

Oleh Muhamaad Razis Ismail

PEMBANTU tadbir dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kota Bharu, hari ini terhadap tiga tuduhan memperdaya wanita berhubung permohonan geran tanah, empat tahun lalu.

Tertuduh Tengku Ahmad Arfan Tengku Amin, 34, yang bertugas di Pejabat Tanah dan Galian Kuala Krai bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan di hadapan Hakim Zaman Mohd Noor.

Mengikut pertuduhan pertama hingga ketiga, tertuduh didakwa menipu Rohana Othman, 52 untuk mempercayai bahawa dia boleh menguruskan permohonan mendapatkan geran tanah di Kampung Budi, Kuala Krai atas nama Murni Othman, 33, dengan mendorong mangsa menyerahkan wang RM6,740 ke dalam akaun Bank Islam miliknya.

Tertuduh melakukan kesalahan itu di BSN Taman Bendahara, di sini dan Bank Islam Kubang Kerian di sini pada 6 Mei 2014 hingga 19 Mei 2014.

Kesemua kesalahan didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat dan denda, jika sabit kesalahan.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Shahidah Muslimah Roslan menawarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon jaminan minimum kerana perlu menyara keluarga.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin dengan syarat tidak dibenarkan mengganggu mangsa dan menetapkan 18 September ini sebutan semula kes.

Disiarkan pada: September 3, 2018 @ 1:11pm
d