mutakhir

Ditetak ketika sedang tidur

Oleh Mohamed Sahidi Yusof

TIGA lelaki yang sedang tidur, parah ditetak empat lelaki di rumah tidak bernombor di Kampung Jeranggau, Gual Ipoh, Tanah Merah, Rabu lalu.

Dalam kejadian 5 pagi itu, semua lelaki berusia antara 20 hingga 33 tahun diserang dengan menggunakan senjata tajam.

Pemangku Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Deputi Superintendan Azmi Mohktar berkata, seorang daripada mangsa berusia 20 tahun parah di kepala dan hampir putus pergelangan tangan kiri, manakala dua rakannya masing-masing parah di tangan serta kaki kanan.

"Siasatan awal polis mendapati kejadian itu berlaku berpunca masalah hutang serta perselisihan faham yang membabitkan adik kepada seorang mangsa berkenaan.

"Mangsa parah dibawa ke Hospital Tanah Merah (HTM) untuk menerima rawatan kecemasan sebelum dimaklumkan mengenai kejadian itu kepada polis

"Kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan parah serta menggunakan senjata tajam," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tanah Merah di sini, hari ini.

Menurutnya, polis kini sedang memburu lelaki dikenali sebagai Amran Awang, 45, yang dikehendaki untuk membantu melengkapkan siasatan berhubung kejadian itu.

"Kita percaya, Amran masih bersembunyi di negeri ini. Dia boleh datang dan berjumpa dengan pegawai penyiasat di IPD Tanah Merah atau hadir ke mana-mana balai polis berdekatan.

"Orang ramai juga boleh menyalurkan maklumat terkini jika dapat mengesan kedudukan Amran bagi membantu siasatan itu," katanya.

Disiarkan pada: September 3, 2018 @ 3:12pm
d