mutakhir

Mana ada gaduh?

Oleh Mohamed Farid Noh

POLIS Kluang hari ini menafikan status di satu komuniti Facebook yang menyatakan berlaku kekacauan kaum di Batu 4, dan Taman Puteri, Kluang, malam tadi.

Status yang mulai tular sejak tengah malam tadi antara lain menyatakan berlaku kekacauan di lokasi berkenaan, malah orang ramai diberi amaran tidak keluar berseorangan selain meminta status berkenaan ditularkan.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Mohamad Laham, berkata maklumat berkenaan palsu dan pemeriksaan pihaknya mendapati tiada sebarang kekacauan di lokasi berkenaan dilaporkan kepada polis sehingga kini.

“Siasatan awal sudah dibuat dan ternyata status berkenaan adalah palsu dan boleh membawa kepada ketidak tenteraman awam bagi masyarakat khususnya di Kluang.

“Malah gambar disertakan kononnya berlaku kekacauan sehingga seorang lelaki ditetak sehingga parah adalah gambar kejadian di Kuala Selangor, dua hari lalu.

“Saya sudah meminta anggota supaya membuat laporan polis terhadap status palsu itu bagi tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi NSTP.

Mohamad berkata, orang ramai diingatkan supaya tidak menyiarkan atau menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh mengganggu ketenteraman awam.

Beliau berkata, tindakan membuat dakwaan palsu yang kemudian disebarkan secara tidak bertanggungjawab adalah salah di sisi undang-undang.

“Ia boleh disiasat mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta boleh dihukum mengikut Seksyen 233(3) akta sama dengan denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan,” kata.

Disiarkan pada: September 3, 2018 @ 4:56pm
d