mutakhir

Pengarah JAIPs dilibas pedang samurai

Oleh Dziyaul Afnan Abdul Rahman

PENGARAH Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs) berdepan detik cemas dilibas pedang samurai di pipi kirinya selepas rumahnya di Kampung Guru, Kangar, dirompak, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kangar, Superintendan Wari Kiew, berkata dalam kejadian 11 malam itu, mangsa, Dr Hazman Hassan, 41, baharu sahaja pulang selepas menghadiri ceramah dan tidak menyedari kediamannya dipecah masuk.

“Mangsa yang tidak mengesyaki rumahnya dipecah masuk terus menuju ke bilik utama di tingkat atas sebelum bertembung seorang perompak di hadapan bilik tidurnya.

“Berlaku pertengkaran antara mereka sebelum suspek yang dipercayai adalah lelaki warga tempatan bertindak melibas pedang samurai yang terkena pipi kiri mangsa,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kangar, hari ini.

Difahamkan, Dr Hazman tinggal berseorangan di rumah berkenaan dengan perompak mengambil kesempatan itu bagi memecah masuk ke rumahnya.

Wari berkata, siasatan awal di lokasi kejadian menunjukkan penjenayah masuk ke rumah berkenaan melalui balkoni tingkat atas rumah itu.

“Suspek menggunakan tangga dan memecah pintu balkoni yang tidak dikunci dengan sempurna.

“Kami mengesan cap jari suspek di sekeliling rumah dan identiti suspek sedang dikenal pasti,” katanya.

Wari berkata, selepas menyerang mangsa, suspek sempat mencuri telefon bimbit dan dompet mangsa yang berisi sejumlah wang.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 326 dan 394 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan kepada mangsa.

Disiarkan pada: September 3, 2018 @ 5:37pm
d