mutakhir

Makanan laut dikecualikan SST

Oleh Mohd Husni Mohd Noor

UDANG, ketam dan kerang serta lebih 10 makanan laut mewah lain dalam kategori ‘Crustaceans’ (haiwan laut berkulit keras) dan ‘Molluscs’ (haiwan berkerang) dikecualikan daripada senarai Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) sebanyak 10 peratus berkuatkuasa serta merta.

Antara senarai makanan laut lain yang dikecualikan termasuk abalon, udang kara, tiram, sotong, kupang, kekapis, udang Norway, udang laut sejuk dan lala.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, pengecualian itu dibuat demi membolehkan makanan laut itu dinikmati oleh rakyat berpendapatan sederhana dan rendah tanpa dikenakan sebarang cukai.

Beliau berkata, sebelum ini, ramai yang mempersoalkan kenapa bahan mentah seperti udang, ketam dan kerang dikenakan SST 10 peratus justeru, pengecualian dilakukan bagi mengelak kekeliruan orang ramai.

"Sebelum ini, makanan laut itu dikenakan cukai jualan pada kadar 10 peratus dan ia dilonggokkan dalam kategori barang makanan mewah lain seperti abalon dan udang kara.

"Saya mengingatkan kepada peniaga supaya tidak mengenakan atau membayar cukai SST 10 peratus kepada makanan berkenaan," katanya pada sidang media di Putrajaya, hari ini.

Disiarkan pada: September 3, 2018 @ 6:45pm
d