mutakhir

Siasat dakwaan salah guna kuasa EXCO Melaka

Oleh Mohd Hilmie Hussin

UMNO dan PAS Melaka serta badan bukan kerajaan (NGO), Pemantau Malaysia Baru (PMB) membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) negeri berhubung dakwaan salah laku membabitkan seorang EXCO kerajaan negeri.

Laporan itu dibuat oleh Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu, Datuk Seri Ali Muhammad, Pesuruhjaya PAS negeri, Kamarudin Sedik dan Pengerusi PMB, Datuk Lokman Adam di Pejabat SPRM negeri, Alai, di Melaka, kira-kira jam 3 petang tadi.

Ketiga-tiga pemimpin berkenaan turut diiringi kira-kira 200 penyokong.

Dalam laporan itu, Lokman yang mewakili petani dan masyarakat mahu SPRM menyiasat penyalahgunaan kuasa seorang EXCO kerajaan negeri yang bertindak menggeledah sebuah stor penyimpanan baja di Sungai Rambai, Jasin, pada 29 Ogos lalu.

“Sebagai EXCO kerajaan negeri, beliau tiada hak untuk menggeledah, melainkan polis dan pihak berkuasa tempatan.

“Itu pun perlu mendapatkan waran geledah terlebih dulu. Lebih teruk, cuba menakutkan pekerja dengan menggunakan kedudukannya apabila berkata ‘kau kenal aku siapa?” katanya ketika ditemui media.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.40 malam pada 29 Ogos lalu itu, EXCO berkenaan yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Pembangunan Usahawan dan Industri Asas Tani negeri, Norhizam Hassan Baktee bersama-sama 15 orang dan dua anggota polis datang ke stor penyimpanan baja untuk sawah di Parit Penghulu Blok F dengan tujuan membuka pintu stor.

Ali pula meminta Ketua Menteri, Adly Zahari supaya mengambil tindakan sewajarnya dan berpendirian tegas terhadap EXCO terbabit yang dianggap tidak amanah pada tanggungjawab yang diberikan.

Sementara itu, Pengarah SPRM negeri, Abu Talib Othman ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan itu.

Disiarkan pada: September 3, 2018 @ 7:02pm
d