mutakhir

Hampir 50 rumah rosak dibadai ribut

Oleh Rosli Ilham

“RIBUT selama lima minit itu menyebabkan atap rumah berterbangan dan kami lima beranak nyaris cedera selepas serpihan atap rumah bertaburan jatuh ke dalam rumah,” kata Rosli Mangsor, 46, selepas rumahnya di Jerangau Sungai dibadai ribut, petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.45 petang, hampir 50 buah rumah penduduk di kampung itu termasuk Kampung Nerang dan Pancur mengalami kerosakan akibat atap diterbangkan ribut.

Rosli berkata, ketika kejadian, dia bersama isteri dan tiga anak berada di ruang tamu sebelum hujan lebat dan ribut kencang berlaku.

“Ketika itu bergegar rumah kami, ribut kuat itu terasa seperti mengangkat rumah kami sebelum atap rumah diterbangkan.

“Saya dan ahli keluarga keluar menyelamatkan diri kerana bimbang sesuatu kejadian yang lebih buruk berlaku, “katanya.

Katanya, keseluruhan ruang tamu rumah dimasuki air hujan dan kini keluarganya menggunakan sebuah bilik di rumah itu sebagai tempat berteduh.

Sementara itu, Pegawai Penyelaras DUN Bukit Besi, Ghazali Sulaiman berkata, sehingga jam 9 malam tadi, sebanyak 47 buah rumah dikenal pasti rosak dalam kejadian itu.

Katanya, selain rumah penduduk, Sekolah Menengah Kebangsaan Jerangau turut mengalami kerosakan termasuk sebuah reban ternakan ayam yang diusahakan penduduk.

“Kerja-kerja membaiki atap rumah penduduk akan dijalankan esok pagi secara gotong-royong membabitkan agensi Pejabat Daerah Dungun, Angkatan Pertahanan Awam (APM), Bomba dan penduduk Kampung,” katanya.

Menurutnya, kejadian ribut yang berlaku di Jerangau itu adalah kali kedua dan kali pertama pada 21 Ogos lalu merosakkan sebanyak 30 buah rumah penduduk.

“Pada 26 dan 27 Ogos lalu, kejadian ribut turut merosakkan 201 buah rumah penduduk di Bandar Al Muktaffi Billah Shah serta 25 buah rumah di Bukit Besi pada kejadian 28 Ogos,” katanya.

Disiarkan pada: September 4, 2018 @ 12:48am
d