mutakhir

Tentera pun dah mengundi

Oleh Iskandar Shah Mohamed

PEMILIH berdaftar terdiri daripada 2,597 pegawai dan anggota tentera bersama pasangan mereka melaksanakan tanggungjawab mengundi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia, bermula 8 pagi ini.

Pengundian awal itu dijalankan di pusat mengundi di Dewan Serbaguna Ababil, Pangkalan Udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang, dekat sini.

Tinjauan NSTP mendapati proses pengundian di lokasi itu setakat ini berjalan lancar dan terkawal.

Hadir sama, calon Pakatan Harapan bagi PRK itu, Halimey Abu Bakar dan calon PAS, Dr Halimah Ali.

Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Othman Mahmood turut dijangka hadir meninjau pusat mengundi itu pada 12 tengah hari ini.

Pengundian awal itu membabitkan keseluruhan seramai 2,770 pengundi termasuk 173 pegawai dan anggota polis yang mengundi di Kompleks SMS Polis Diraja Malaysia (PDRM), di sini.

Proses pengundian akan berakhir 5 petang ini.

PRK Seri Setia diadakan selepas penyandangnya, Prof Dr Shaharuddin Badaruddin, meninggal dunia akibat barah usus di Hospital Putrajaya, 2 Ogos lalu.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), Shaharuddin menang kerusi DUN Seri Setia dengan majoriti 19,372 undi, menewaskan calon BN, Yusoff M Haniff; calon PAS, Mohd Ghazali Daud dan calon Bebas, S Vigneswaran.

Disiarkan pada: September 4, 2018 @ 10:04am
d