mutakhir

Tak mengaku tumbuk muka isteri

Oleh Nor Azura Abdul Jalil

LELAKI dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tuduhan dengan sengaja menumbuk muka isterinya sehingga patah hidung, dua bulan lalu.

Azri Ismail, 45, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik saja pertuduhan dibacakan kepadanya di hadapan Hakim Mahyon Talib.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja telah menyebabkan cedera parah ke atas suri rumah, Noor Aishah Ahmad, 44, dengan menumbuk muka mangsa sehingga patah di bahagian hidung.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di premis di Taman Aman Putra Jinjang Utara, di sini pada 12 tengah hari, 27 Julai lalu.

Pertuduhan dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, N Joy Jothi mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 326A kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Pihak pendakwaan sebelum itu tidak mencadangkan jaminan terhadap tertuduh dan Azri yang tidak diwakili peguam pula tidak membuat sebarang rayuan.

Mahkamah tidak membenarkan jaminan dan menetapkan 14 September ini untuk sebutan semula kes bagi lantikan peguam dan serahan dokumen.

Disiarkan pada: September 4, 2018 @ 2:43pm
d