mutakhir

Cicaklah, bukan biawak...

Oleh Mohd Azam Shah Yaacob

AKIBAT panik melihat seekor cicak yang disangka ‘biawak’ di dalam rak pakaian, sepasukan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Damansara dikejarkan ke sebuah apartmen di Jalan Tropicana Utara, Petaling Jaya bagi menangkap haiwan berkenaan, hari ini.

Kejadian berpunca apabila seorang wanita berusia 30-an yang panik melihat kelibat haiwan berkenaan memberitahu jiran lelakinya bahawa terdapat seekor biawak di dalam rak pakaian di salah sebuah bilik di rumahnya.

Pemangku Penyelia BBP Damansara Wan Halim Wan Sulaiman berkata, disebabkan salah faham, lelaki berkenaan membuat panggilan kecemasan dan meminta bantuan bomba bagi menangkap haiwan itu.

Menurutnya, pihak bomba menerima panggilan kecemasan jam 12.13 tengah hari mengenai kehadiran seekor ‘biawak’ di dalam rak pakaian jiran wanitanya.

Katanya, bertindak atas laporan, sepasukan anggota bomba dikejarkan ke rumah berkenaan dan tiba di lokasi kira-kira lapan minit kemudian.

“Sebaik membuat pemeriksaan, pihak bomba tidak menemui ‘biawak’ seperti dilaporkan, sebaliknya hanya menemui seekor cicak bersaiz sebesar ibu jari bersembunyi di dalam rak pakaian wanita berkenaan.

“Reptilia itu dilepaskan dan memaklumkan bahawa kejadian salah faham oleh pengadu yang panik seperti itu memang sering diterima pihak bomba,” katanya.

Menurutnya, pihaknya sentiasa mengikut segala prosedur ditetapkan dan akan memberi maklum balas kepada setiap laporan yang diterima.

“Malah, untuk kes seperti itu, ia sebahagian kejadian yang tidak boleh dielakkan dan sudah menjadi lumrah tugasan bomba,” katanya.

Disiarkan pada: September 4, 2018 @ 7:00pm
d