mutakhir

Tak perlu kaji proses sebatan - Mufti Kelantan

Oleh Nur Lela Zulkipli

“TAK perlu dikaji semula proses sebatan pesalah undang-undang syariah,” tegas Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad.

Beliau berkata, langkah terbabit tidak wajar dilihat semula memandangkan pelaksanaan hukuman itu tidak bercanggah dengan peruntukan undang-undang sedia ada.

Tegas beliau lagi, hukuman sebatan yang berlaku di Dewan 2 Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Terengganu semalam adalah mengikut undang-undang syariah yang ditetapkan.

“Sekiranya hukuman sebat yang dijalankan bercanggah dengan undang-undang, maka ia wajar di kaji semula.

“Namun, jika kajian semula yang ingin dijalankan adalah bagi tujuan penambahbaikkan, mungkin ia boleh dilakukan,” katanya kepada NSTP, di Kuala Lumpur, hari ini.

Mohamad Shukri berkata demikian bagi mengulas kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa semalam yang mahu melihat semula aspek kehadiran orang awam sewaktu proses sebatan pesalah undang-undang syariah.

Menurut Mohamad Shukri lagi, pelaksanaan hukuman sebat itu dijalankan atas permintaan rakyat seperti yang dibincangkan dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Apa yang diputuskan pada Sidang DUN adalah atas keperluan dan kehendak rakyat yang dibawa oleh wakil rakyat.

“Jadi, kerajaan perlu memahami latar belakang penubuhan enakmen setiap negeri sebelum mengkaji semula sesuatu perkara,” katanya.

Katanya lagi, masyarakat perlu memahami perbezaan antara hukuman sebat di khalayak ramai dan terbuka.

“Jika hukuman sebat dijalankan di tempat awam seperti padang atau pusat beli belah, maka ia bersifat khalayak ramai.

“Namun, jika ia dilaksanakan di kawasan mahkamah atau penjara, ia bersifat terbuka yang hanya disaksikan oleh orang tertentu. Jadi, ia adalah perkara yang berbeza,” katanya.

Mohamad Shukri turut menyatakan pendirian Kelantan dalam proses hukuman sebat ini sebagai proses biasa dan akan terus dilaksanakan di negeri itu bagi memberi pengajaran kepada pesalah undang-undang syariah.

“Proses sebatan ini bukan perkara baru di Kelantan, cuma ia tidak dihebahkan kepada media atau orang awam.

“Sebagai contoh, orang Islam yang didapati minum arak di Kelantan, akan disebat secara terbuka,” katanya.

Disiarkan pada: September 4, 2018 @ 7:03pm
d