mutakhir

Musa Aman pulang ke Sabah, esok?

Oleh Avila Geraldine

BEKAS Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman yang kini dirawat di sebuah hospital swasta di Subang Jaya, Selangor dikatakan akan pulang ke Sabah, esok.

Ini kerana beliau perlu mengangkat sumpah sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Sibuga sebelum 11 September ini, atau hilang kerusi yang dimenangi pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), Mei lalu.

Berdasarkan maklumat yang tersebar menerusi WhatsApp malam ini, Musa dilaporkan akan tiba di Terminal 2 Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) pada jam 12.30 tengah hari.

Menerusi kenyataan yang tersebar itu, ahli UMNO dijemput hadir ke Terminal 2 KKIA dengan memakai baju merah sebagai tanda sokongan kepada bekas Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah terbabit.

Sementara itu, bekas Ketua Pemuda UMNO Putatan Ir Shahelmy Yahya berkata, beliau turut dimaklumkan mengenai kepulangan Musa ke Sabah esok.

“Dengan kepulangan Tan Sri Musa esok, saya akan pergi ke lapangan terbang untuk mengalu-alukan kepulangannya bersama rakan dan penyokong parti,” katanya yang juga bekas Naib Ketua Pemuda UMNO Sabah kepada NSTP.

Musa yang berada di London sejak pertengahan Mei lalu kerana mendapatkan rawatan kesihatan, kembali ke Malaysia pada 21 Ogos lalu sebelum dimasukkan ke sebuah hospital swasta di Subang Jaya.

Sebelum ini, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, Datuk Syed Abbas Syed Ali menegaskan tiada lanjutan masa selepas tarikh terakhir pada 11 September, iaitu 90 hari dari persidangan DUN pertama untuk Musa mengangkat sumpah.

Musa ketika ini disiasat berkaitan kes ugutan jenayah terhadap Yang di-Pertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin di mana polis sudah mengambil keterangan lebih 20 individu sebelum melengkapkan siasatan untuk diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya (DPP).

Beliau juga disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), dipercayai berkaitan kerjasama Barisan Nasional (BN) Sabah dengan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dalam usaha membentuk kerajaan negeri selepas PRU-14.

Disiarkan pada: September 4, 2018 @ 10:48pm
d