mutakhir

Majlis Peguam tak terkejut

Oleh Siti Nur Mas Erah Amran

MAJLIS Peguam menyifatkan tindakan timbalan pendakwa raya menarik balik tuduhan bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng daripada tuduhan rasuah sebagai ‘tidak mengejutkan’, malah dibuat berdasarkan prosedur yang ditetapkan.

Presiden Majlis Peguam, George Varughese berkata, ia adalah hak mutlak bagi pendakwa raya pada mana-mana peringkat perbicaraan, sebelum penyerahan penghakiman ditolak untuk dakwaan lanjut mengikut Seksyen 254 Kanun Prosedur Jenayah.

“Ini adalah perkara biasa bagi peguam yang mewakili tertuduh melalui representasi dikemukakan pihak pembelaan kepada Pejabat Peguam Negara untuk mendapatkan penarikan atau pengurangan caj yang dikenakan terhadap klien mereka.

“Pejabat Peguam Negara juga secara teratur mempersetujui representasi berkenaan malah timbalan pendakwa raya sendiri menjelaskan bahawa bukti yang ada tidak mencukupi untuk meneruskan pendakwaan.

“Justeru, tidak mengejutkan apabila pihak pendakwaan menarik balik kes berkenaan,” katanya.

Semalam, Mahkamah Tinggi Pulau Pinang membebaskan Lim, daripada tuduhan rasuah berhubung pembelian sebuah lot banglo dan tuduhan bersubahat dihadapi ahli perniagaan, Phang Li Koon, selepas pihak pendakwaan menarik balik kes itu.

Ia berikutan permohonan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Masri Mohd Daud, melalui representasi dikemukakan pihak pembelaan kepada Pejabat Peguam Negara untuk menggugurkan tuduhan berkenaan.

Disiarkan pada: September 4, 2018 @ 11:55pm
d