mutakhir

Kami terbuka terima kritikan - MB Terengganu

Oleh Malik Muhamad

“KITA hendaklah berfikiran terbuka dan positif serta dapatkan maklumat yang lebih tepat dan betul sebelum membuat apa jua tindakan dan tohmahan,” kata Menteri Besar Terengganu, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Mesej daripada Ahmad Samsuri itu khas ditujukan kepada segelintir pihak yang mengkritik pelaksanaan hukuman sebat terhadap dua wanita kerana cuba melakukan hubungan seks sejenis oleh Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu semalam.

Beliau berkata, kerajaan negeri bersikap positif terhadap pandangan segelintir pihak berkenaan yang mengkritik pelaksanaan hukuman itu dan berkeyakinan ia bersifat sementara dan mereka akan faham bahawa hukuman yang dikenakan itu adalah untuk mendidik pesalah yang terbabit dengan gejala lesbian, gay, biseksual, transgender (LGBT) di negara ini.

“Mereka kena faham prinsip dan undang-undang yang dilaksanakan itu adalah satu mesej kepada seluruh rakyat Malaysia bahawa amalan seks songsang tidak wajar diamalkan di Terengganu khususnya dan amnya di negara ini yang mempunyai tatasusila dan norma masyarakat yang beragama Islam.

“Saya percaya jika masyarakat kita melihat hukuman ini dengan objektif, dengan mata hati dan ilmu serta kefahaman dan bukan dengan emosi mereka boleh terima dan lihat keindahan di sebalik hukuman itu berbanding kaedah sivil yang agak tegas,” katanya ketika ditemui selepas majlis kesyukuran meraikan pemain pasukan Piala Presiden dan Piala Belia negeri di Kuala Terengganu sebentar tadi.

Mengulas mengenai Pahang yang membayangkan akan mengikut langkah Terengganu dalam melaksanakan hukuman sebat ke atas pesalah LGBT, Ahmad Samsuri bersikap terbuka dan mengalu-alukan kerana ia sebahagian daripada tugas pemimpin negeri membanteras gejala yang tidak sihat itu daripada terus menular dalam masyarakat Islam.

“Bagi negeri yang mempunyai enakmen yang sama, pemimpin harus mengambil sikap yang sama iaitu menjunjung undang-undang itu. Kalau pemimpin tidak melaksanakannya siapa lagi yang akan pertahankannya?” katanya.

Semalam selepas hukuman yang pertama di negeri itu dilaksanakan kepada pesalah, segelintir daripada kritikan itu mendesak hukuman berkenaan perlu dihentikan terhadap pesalah LGBT kerana ia membawa kemudaratan terutama daripada segi psikologi.

Dalam pelaksanaan hukuman yang dijalankan ke atas pesalah wanita berumur 32 dan 22 tahun itu mengikut Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001 yang dibaca bersama Seksyen 59 (1) Enakmen yang sama kerana musahaqah, lebih 100 orang menyaksikan hukuman yang bersejarah itu di negeri ini.

Disiarkan pada: September 5, 2018 @ 1:32am
d