mutakhir

Main kejar-kejar pulak...

Oleh Nordiana Shafiee

BIARPUN sudah diberi amaran sebanyak dua kali, namun kedegilan lelaki warga Thailand akhirnya memakan diri apabila ditahan Jabatan Imigresen negeri dalam Op Mega 4.0 di Jalan Sultan Badlishah, Alor Setar, semalam.

Lelaki berasal dari Pattani itu antara 11 warga asing yang ditahan ketika berniaga sate ikan di hadapan bank kerana disyaki melakukan kesalahan imigresen.

Dalam operasi bermula 5.30 petang itu, beberapa warga asing bertindak melarikan diri apabila menyedari kehadiran anggota penguat kuasa di beberapa lokasi berasingan sekitar pusat bandar Alor Setar.

Ada antaranya yang melarikan diri sejauh 200 meter ketika serbuan dijalankan di restoran makanan Thai dan ada yang cuba lolos ketika dokumen perjalanan sedang diperiksa sehingga dikejar sejauh 50 meter, namun semua warga asing terbabit berjaya ditahan.

Pengarah imigresen negeri, Zuhair Jamaludin berkata, operasi yang berakhir 10 malam itu membabitkan seramai 50 warga asing, diperiksa di 10 lokasi berasingan.

Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati 11 daripadanya terdiri lapan lelaki dan tiga wanita melakukan pelbagai kesalahan imigresen.

“Mereka yang ditahan ini adalah enam lelaki dan tiga wanita warga Thailand, seorang lelaki warga Bangladesh serta seorang lelaki warga Myanmar.

“Pemeriksaan awal kita mengesan semua warga asing berusia antara 19 dan 56 tahun ini melakukan kesalahan tidak memiliki pas atau sebarang dokumen perjalanan sah dan melanggar syarat pas diberikan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Zuhair berkata, pendatang asing terbabit akan disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/53 dan Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963.

Menurutnya, mereka akan dibawa ke Depoh Tahanan Imigresen Belantik, Sik untuk siasatan lanjut.

Disiarkan pada: September 5, 2018 @ 9:02am
d