mutakhir

Jenazah wartawan sambilan NSTP selamat dikebumikan

Oleh Balqis Jazimah Zahari

Teluk Intan: Jenazah wartawan sambilan The New Straits Times Press (Malaysia) Bhd (NSTP) Perak, Abu Bakar Al Sidek Hashim, 77, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam At-Taqwa, Kampung Padang Tembak, jam 5.40 petang semalam.

Terdahulu jenazah dibawa dari rumah keluarga di No 100 Blok E Rumah Awam 3, Jalan Padang Tembak ke Masjid At-Taqwa, Padang Tembak untuk solat jenazah.

Allahyarham yang bertugas sebagai wartawan sambilan sejak tahun 2002 meninggal dunia akibat jangkitan paru-paru ketika dirawat di Hospital Teluk Intan (HTI) jam 8.30 pagi semalam.

Allahyarham yang menulis nota menggunakan tulisan jawi ketika hayatnya, meninggalkan isteri, Fatimah Sahat, 68, serta lima anak berusia antara 32 hingga 46 tahun dan 15 cucu.

Bagaimanapun, dua daripada anaknya tidak sempat menatap buat kali terakhir wajah arwah kerana berada di luar negara.

Fatimah yang ditemui berkata, arwah menunjukkan perubahan ketara sebelum meninggal.

“Dia sudah menunjukkan perubahan sejak dua minggu lalu apabila dia datang kepada saya dan banyak meminta maaf selain banyak menghabiskan masa bermain dengan cucu.

“Saya turut bermimpi rumah dikunjungi oleh ramai orang beberapa hari lalu seakan petanda atas pemergian arwah,” katanya ketika ditemui di rumahnya.

Fatimah berkata, arwah juga mempunyai semangat juang yang tinggi terhadap minatnya dalam bidang penulisan dan kewartawanan.

“Pernah beberapa kali saya beritahu, cukup-cukuplah, tak payah menulis lagi kerana sudah berusia selain masalah kesihatan tetapi dia macam itulah, memang semangatnya tinggi mahu menulis,” katanya sambil mengakui arwah sempat menulis berita terakhir baru-baru ini.

Disiarkan pada: September 5, 2018 @ 11:39am
d