mutakhir

Bapa durjana tak mengaku rogol anak [METROTV]

Oleh Raja Norain Hidayah Raja Abdul Aziz

PEKERJA ladang mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuantan, hari ini, kerana merogol anak kandungnya berusia 11 tahun, awal bulan lalu.

Tertuduh yang berusia 54 tahun membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Dazuki Ali.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di rumah mereka di Sungai Isap, Kuantan, pada 4 petang 3 Ogos lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lapan tahun dan tidak lebih 30 tahun serta tidak kurang 10 sebatan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Farahah Mohd Nazari, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Pihak pendakwaan tidak menawarkan sebarang jaminan memandangkan pengadu adalah anak kandung tertuduh dan ada kebarangkalian tertuduh mengulangi perbuatan itu.

Tertuduh kemudian memohon mahkamah membenarkan jaminan terhadapnya memandangkan dia perlu menyara isteri, mangsa serta dua anak dengan pendapatan sebanyak RM2,500 sebulan.

Dazuki tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan tarikh 4 Oktober ini untuk sebutan semula.

Disiarkan pada: September 5, 2018 @ 1:07pm
d