mutakhir

Sindiket dadah kantoi lagi

Oleh Hadzlihady Hassan

POLIS Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman dan Pulau Pinang merampas pelbagai dadah bernilai RM8.8 juta dalam lima serbuan berasingan di sekitar daerah Timur Laut dan Barat Daya, Isnin lalu.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk A Thaiveegan berkata, serbuan pertama dilakukan di Gelugor pada 12 tengah hari dan polis menahan dua lelaki berusia 39 dan 46 tahun.

Beliau berkata, dalam serbuan itu, polis merampas 8.2 kilogram (kg) syabu dan 2.93 gram (g) heroin base.

“Susulan daripada itu, polis menyerbu pangsapuri di Jelutong dan merampas 62.45kg syabu.

“Dalam serbuan ketiga di Jelutong, kami merampas 93.2kg syabu dan serbuan keempat di Sungai Dua, kami merampas 734g heroin base,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri, hari ini.

Beliau berkata, serbuan terakhir dilakukan di Balik Pulau dan polis merampas 18.6kg ganja.

“Jumlah keseluruhan syabu dirampas itu adalah 163.8kg, ganja (18.6kg) dan heroin base (3.67kg).

“Nilai keseluruhan dadah dirampas itu berjumlah RM8.8 juta dan kami turut menyita wang tunai serta kenderaan bernilai RM2.6 juta,” katanya.

Disiarkan pada: September 5, 2018 @ 4:45pm
d