mutakhir

Mujahid tak setuju negeri lain ikut Terengganu

Oleh Siti A’isyah Sukaimi

PELAKSANAAN hukuman sebat kepada pesalah kes berkaitan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) yang dikatakan mahu diikuti oleh negeri tertentu seolah-olah menggambarkan Islam hanya mahu menghukum pesalah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama), Datuk Dr Mujahid Yusof berkata, penguatkuasaan undang-undang syariah terhadap kesalahan jenayah syariah sebenarnya bersandarkan kepada belas kasihan dan bertujuan memberi pengajaran.

“Saya berpendapat idea mengenai negeri lain akan mengikut jejak langkah (hukuman sebat) itu bukan satu semangat. Penguatkuasaan undang-undang syariah itu bukan berdasarkan apa orang fikir atau siapa mahu melebihi yang lain.

“Ia sebenarnya berdasarkan kepada belas kasihan dan memberi pengajaran. Saya berpendapat jalan terbaik ialah memberi kesedaran kepada orang awam,” katanya pada sidang media selepas Majlis Zakat Korporat 2018 di Putrajaya hari ini.

Kelmarin, media melaporkan Pahang membayangkan bakal mengikut langkah Terengganu untuk melaksanakan hukuman sebat ke atas pesalah berkaitan kes LGBT.

Pengarah Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), Datuk Mohamad Noor Abdul Rani dilaporkan berkata, perkara itu kini dalam perbincangan memandangkan pelaksanaan hukuman itu memerlukan penelitian mendalam.

Beliau dipetik berkata, ia wajar dan sokongan harus diberi bagi menunjukkan keseriusan pihak berkuasa dalam melaksanakan undang-undang bagi membendung amalan LGBT.

Isnin lalu, Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Terengganu melaksanakan hukuman sebat kepada pasangan lesbian berusia 22 dan 32 tahun, yang masing-masing disebat enam kali selepas didapati bersalah cuba melakukan hubungan seks di dalam kereta, pada 8 April lalu.

Pelaksanaan hukuman itu yang dilaksanakan Jabatan Penjara Malaysia itu dipercayai yang pertama seumpamanya di negeri berkenaan.

Disiarkan pada: September 5, 2018 @ 7:23pm
d