mutakhir

Tiada jemputan...

Oleh Nur Lela Zulkipli

Petaling Jaya: Program debat untuk menemukan dua calon parti bertanding bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia sekali lagi menjadi persoalan selepas kedua-dua calon memberi penjelasan berbeza.

Poster program bertajuk Debat Terbuka anjuran sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu yang kononnya bertujuan menemukan calon Pakatan Harapan (PH), Halimey Abu Bakar dan calon PAS, Dr Halimah Ali tular di laman media sosial semalam.

Bagaimanapun, apabila ditanya mengenai persediaan berdebat, Halimey masih berteka-teki dan menegaskan beliau tidak mengetahui sebarang maklumat berhubung jemputan program debat terbabit.

“Tiada sebarang jemputan rasmi atau tidak rasmi (program debat) yang diterima oleh pihak saya.

“Saya juga tidak menerima apa-apa maklumat, tetapi saya cuma mengetahuinya melalui tular di media sosial,” katanya.

Katanya, program debat tidak perlu diadakan dan calon seharusnya memberi tumpuan utama bagi PRK DUN Seri Setia pada Sabtu ini.

“Tinggal berapa hari sahaja lagi sebelum tempoh kempen tamat, jadi saya hanya ingin fokus terhadap DUN sahaja. Lagipun, apa yang nak didebatkan? ” kata Halimey yang merupakan bekas anggota Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

Berlainan pula maklum balas yang diterima daripada Dr Halimah yang mengesahkan menerima jemputan rasmi untuk menghadiri program debat berkenaan pada jam 9 malam semalam.

“Ya, saya ada terima jemputan (pagi semalam) untuk program debat itu. Saya sentiasa bersedia.

“Jika benar ada program debat itu, saya akan hadir. Saya akan buat apa yang perlu saya buat serta apa yang baik untuk rakyat” katanya.

Baru-baru ini, kedua-dua calon itu dijadualkan bertemu pada 29 Ogos lalu dalam satu program bual bicara, Agenda Awani.

Bagaimanapun, Halimey menafikan dakwaan menerima jemputan untuk program itu, manakala Dr Halimah pula memaklumkan menerima jemputan daripada pihak penganjur sendiri.

Disiarkan pada: September 6, 2018 @ 11:05am
d