mutakhir

Parah ditikam Fendi

Oleh Ekhwan Haque Fazlul Haque

PENDUDUK terkejut selepas menemui lelaki terbaring berlumuran darah di Kampung Tabuan Tengah, Kuching, semalam.

Dalam kejadian 8.30 pagi itu, mangsa berusia 29 tahun parah ditikam di pinggangnya sebelum dikejarkan ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk rawatan lanjut.

Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Ng Ah Lek berkata, sepasukan polis dikejarkan ke lokasi sebaik menerima maklumat mengenai kejadian.

Menurutnya, siasatan awal mendapati mangsa bertengkar dengan rakan sekampungnya yang dikenali sebagai Fendi.

"Pertengkaran kemudian bertukar pergelutan sebelum suspek menikam pinggang mangsa menggunakan besi tajam.

"Cemas melihat mangsa berlumuran darah menyebabkan suspek bergegas menghilangkan diri," katanya, hari ini.

Katanya, mangsa yang dikejarkan ke HUS terpaksa menjalani pembedahan bagi mengeluarkan besi pada pinggangnya.

Ah Lek berkata, keadaan mangsa kini stabil dan polis kini giat mengesan suspek untuk tindakan lanjut.

"Polis masih menyiasat motif kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan cedera parah," katanya.

Disiarkan pada: September 6, 2018 @ 12:49pm
d