mutakhir

Ramainya PATI di Johor

Oleh Mary Victoria Dass

KERAJAAN Johor menganggarkan purata bilangan pendatang asing tanpa izin (PATI) di negeri ini mencecah kira-kira 750,000.

Pengerusi Jawatankuasa Kepenggunaan, Sumber Manusia dan Perpaduan Johori, Dr S Ramakrishnan berkata, bagaimanapun statistik berkenaan akan dikemaskini dalam tempoh terdekat berikutan terdapat percanggahan maklumat yang diperoleh dari dua agensi berbeza.

Katanya, berdasarkan statistik Kementerian Sumber Manusia terdapat seramai 850,000 PATI di negeri ini tetapi Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) menyatakan bilangan yang lebih tinggi daripada angka diberikan kementerian.

“Kerajaan negeri pula menganggarkan purata PATI di negeri ini lebih rendah daripada statistik dinyatakan kementerian mahupun Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia. Dalam usaha mengemaskini maklumat, terdapat dua pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tampil bekerjasama.

“Johor mempunyai bilangan pekerja asing haram kedua tertinggi di negara ini selepas Selangor,” katanya pada sidang media sempena pelancaran Iskandar Malaysia HR Summit di Hotel DoubleTree by Hilton di Johor Bahru, hari ini.

Hadir sama, Ketua Pembangunan Sosial Iskandar Malaysia, Suhaily Abdul Hamid.

Ramakrishnan berkata, kebanyakan PATI tinggal di kawasan luar bandar dan berada di negeri ini sejak kira-kira 20 hingga 30 tahun.

“Mereka berkahwin dengan warga asing dan meneruskan kehidupan di sini. Lebih mengejutkan ada yang berkahwin dengan penduduk tempatan. Isu berkenaan bukan remeh serta langkah penyelesaiannya juga bukan suatu tugas mudah,” katanya.

Disiarkan pada: September 6, 2018 @ 3:05pm
d