mutakhir

'Siap bagi no akaun lagi...' [METROTV]

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

DUA anggota Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang direman lima hari bermula hari ini, bagi membantu siasatan kes rasuah membebaskan pekerja warga asing yang ditahan bersama pemilik kenderaan.

Perintah reman dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Khas Reman, Mas Azmimin Ahmad ke atas anggota berpangkat koperal dan lans koperal berusia 24 dan 35 tahun itu.

Permohonan reman dibuat Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohd Khairi Abdul Karim sementara kedua-dua suspek diwakili peguam Fadhli Sutris.

Sumber SPRM berkata, suspek ditahan ketika hadir membantu siasatan di pejabat SPRM Negeri Sembilan di Seremban antara 4.30 hingga 5 petang semalam.

“Suspek dikatakan menahan kereta Honda City dipandu pengadu ditemani seorang pekerja warga Bangladesh di Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE).

“Ketika pemeriksaan, suspek mendakwa salinan E-Kad pekerja pengadu tidak sah.

“Suspek meminta wang rasuah berjumlah RM800, tetapi pengadu tidak mempunyai wang mencukupi lalu suspek memberikan nombor akaun. Pengadu kemudian meminta isterinya memasukkan wang ke dalam akaun berkenaan dan mereka dibebaskan,” katanya.

Berikutan kejadian itu, sumber berkata, pengadu membuat laporan kepada SPRM sebelum siasatan dilakukan dan menahan suspek.

Kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

Disiarkan pada: September 6, 2018 @ 4:11pm
d