mutakhir

[UPDATE] Tujuh suspek penyerang sudah ditahan

Oleh Siraj Mohd Zaini

POLIS sudah menahan tujuh suspek bagi membantu siasatan berhubung kejadian seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) ditikam di Taman Permai, Jeram, Kuala Selangor pada 31 Ogos lalu.

Ketua Polis Selangor Datuk Mazlan Mansor berkata, pihaknya kini sedang giat memburu seorang lagi suspek yang dipercayai menikam mangsa berusia 35 tahun itu.

“Identiti suspek yang menikam itu sudah dikenal pasti dan kita percaya akan dapat menangkapnya dalam tempoh terdekat.

“Kejadian itu tiada kaitan dengan sentimen perkauman seperti yang tular di media sosial, baru-baru ini, sebaliknya membabitkan pertikaian antara sekumpulan mat rempit dan orang awam.

“Justeru, polis tidak teragak-agak membuka kertas siasatan terhadap mereka yang menyebarkan perkara tidak betul,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di Shah Alam, hari ini.

Dalam kejadian jam 6.15 pagi berkenaan, mangsa parah dipercayai diserang sekumpulan samseng jalanan di sebuah kedai makan.

Serangan dipercayai berpunca akibat perasaan tidak puas hati sekumpulan lelaki yang sebelum itu ditegur rakan mangsa kerana merempit di depan kedai makan terbabit.

Mangsa yang cacat badan sebelah kanan akibat kemalangan jalan raya ditetak dengan parang hingga urat pergelangan tangan kirinya putus.

Siasatan awal mendapati mangsa bersama lima rakannya berada di kedai berkenaan kira-kira jam 2 pagi.

Berita berkaitan

Tiga ditahan kes tetak OKU

'Kau tetak OKU sampai putus urat tangan'

Disiarkan pada: September 6, 2018 @ 8:25pm
d