mutakhir

Sebat syariah lebih berperikemanusiaan

Oleh Amin Ridzuan Ishak

HUKUMAN sebat terhadap dua pesalah wanita di Terengganu baru-baru ini disifatkan lebih berperikemanusiaan berbanding sebat dalam undang-undang sivil yang menyebabkan lebih kemudaratan.

Mufti Pahang, Datuk Seri Abdul Rahman Osman berkata, sehubungan itu tidak timbul isu hukuman diputuskan Mahkamah Syariah Tinggi Terengganu itu tidak mencerminkan keadilan dan timbang rasa oleh Islam.

“Saya berpendapat hukuman sebat itu lebih berperikemanusiaan berbanding sebat dalam undang-undang sivil, ia tidak mencederakan sebaliknya hanya bersifat mendidik serta memberi peringatan kepada orang lain supaya tidak melakukan perbuatan dilarang Allah contohnya hubungan sejenis seperti lesbian.

“Saya rasa mereka yang membantah itu lebih baik mengkritik terlebih dahulu hukuman sebat dalam undang-undang sivil yang lebih memudaratkan seperti merosakkan anggota badan,” katanya di Kuantan, hari ini.

Abdul Rahman berkata demikian ketika mengulas kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa Kabinet berpendapat hukuman sebat terhadap dua pesalah wanita di Terengganu, baru-baru ini tidak mencerminkan keadilan dan timbang rasa oleh Islam.

Isnin lalu, dua wanita masing-masing berusia berumur 32 dan 22 tahun menjalani hukuman enam sebatan di Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Terengganu selepas didapati bersalah cuba melakukan hubungan sejenis di dalam sebuah kereta pada April lalu.

Hukuman itu menimbulkan pelbagai polemik namun ada pelbagai pihak menyokong keputusan itu bagi mendidik umat Islam supaya tidak mengingkari arahan Allah supaya menjauhi perbuatan dilarang-Nya.

Hukuman sebat di khalayak umum itu adalah yang pertama dilakukan di negeri berkenaan.

Disiarkan pada: September 6, 2018 @ 8:53pm
d