mutakhir

Bekalan elektrik pulih di JB

Oleh Mohd Fahmi Mohd Yusof

GANGGUAN bekalan elektrik di sekitar Johor Bahru, Tampoi dan sebahagian kawasan Tebrau yang berlaku sejak tengah hari ini sudah pulih sepenuhnya.

Pengurus Besar (Perkhidmatan Pelanggan) Tenaga Nasional Berhad (TNB) Johor, Datuk Baderul Sham Saad, berkata kira-kira 10,000 pengguna yang terjejas kembali mendapat bekalan elektrik semula pada 7.40 malam.

Katanya, beberapa kawasan kritikal seperti Hospital Sultanah Aminah (HSA) dilaporkan tidak terjejas ekoran insiden gangguan bekalan elektrik berkenaan.

“Bekalan elektrik pulih 95 peratus pada 7.15 malam tadi sebelum pulih sepenuhnya pada 7. 40 malam,” katanya ketika dihubungi NSTP.

Terdahulu, Baderul Sham memaklumkan gangguan elektrik berlaku akibat daripada kerosakan di Pencawang Masuk Utama 132/33kV Johor Bahru City Center (JBCC) bermula pada 1.04 tengah hari.

Ribuan pengguna jalan raya di Bandaraya Johor Bahru tersangkut apabila hampir semua lampu isyarat tiba-tiba rosak akibat tiada bekalan elektrik.

Kejadian berlaku jam 1 tengah hari ketika kebanyakan orang ramai keluar mengambil anak pulang sekolah atau waktu rehat.

Bagaimanapun, hanya satu kes terperangkap di dalam lif dilaporkan, namun tiada sebarang kecederaan.

Disiarkan pada: September 6, 2018 @ 9:05pm
d