mutakhir

Rokok naik harga...?

Oleh Fazrik Kamarudin

HARGA jualan runcit beberapa jenama rokok meningkat di pasaran susulan penguat kuasaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) pada 1 September lalu.

Tinjauan NSTP di beberapa premis mendapati beberapa jenama terkenal mengalami peningkatan sebanyak 50 sen berbanding harga lama.

Antara jenama yang mengalami kenaikan harga adalah Dunhill, Benson & Hedges, Pall Mall, Peter Stuyvesant dan Rothman, namun jenama Marlboro, Chesterfield dan L&M masih dijual pada harga lama.

Menurut seorang penjaga sebuah kedai serbaneka yang enggan dikenali, rokok di premis berkenaan dijual pada harga baharu bermula semalam.

“Ada jenama rokok yang naik harganya, ada juga jenama yang masih dijual dengan harga lama. Harga naik sebanyak 50 sen, kalau yang harganya RM17, kami jual RM17.50.

“Kami mula menjual dengan harga baharu semalam, manakala bagi jenama lain mungkin juga akan mengalami kenaikan harga,” katanya.

Pekerja swasta, Shukran Sham, 38, berkata dia tidak menyedari harga rokok naik di pasaran.

“Saya selalu membeli rokok jenama Marlboro dan masih membayar sebanyak RM17. Tetapi rakan saya yang membeli rokok Dunhill mula membayar harga baharu sejak semalam,” katanya.

Sebelum ini, tular senarai kenaikan harga rokok di media sosial yang menunjukkan kenaikan harga sebanyak 50 sen untuk beberapa jenama rokok terkemuka.

Pada 30 Ogos lalu, JT International Bhd (JTI Malaysia) mengumumkan harga rokok bagi semua jenama yang diedarkannya di Malaysia akan meningkat selepas penguat kuasaan SST kelak.

Jun lalu, harga jualan runcit hasil tembakau termasuk rokok dikekalkan walaupun Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) ditetapkan pada kadar sifar.

Kali terakhir, syarikat pengeluar rokok menaikkan harga jualan runcit rokok pada November 2015 susulan kenaikan eksais rokok selain mengambil kira kesan GST serta tekanan kos inflasi.

Disiarkan pada: September 6, 2018 @ 10:20pm
d