mutakhir

JPNT perlu siasat dakwaan...

Oleh Rosli Ilham

JABATAN Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) sedang menyiasat dakwaan murid beragama Islam sebuah sekolah rendah di kawasan pendalaman di Hulu Dungun diarah menghafal lirik lagu mengagungkan gereja.

Insiden yang kecoh di laman sosial Facebook dan aplikasi WhatsApp menjadi tular apabila aktivis pendidikan dan golongan ibu bapa mempertikaikan tindakan itu.

Pengarahnya Shafruddin Ali Hussain ketika dihubungi mengesahkan sudah menerima laporan berhubung perkara terbabit.

Katanya, pihaknya memandang serius perkara berkenaan dan sedang menjalankan siasatan lanjut.

“JPNT memandang serius isu ini dan akan membuat siasatan secara menyeluruh. Kita akan siasat mengapa perkara seperti ini boleh berlaku. Sekiranya benar berlaku, kita akan ambil tindakan tegas,” katanya.

Katanya, sekiranya perkara itu berlaku di sekolah terbabit, pihaknya akan mengambil tindakan sewajarnya terhadap guru berkenaan.

Terdahulu, seorang individu dikenali sebagai Cikgu Izzat melalui Facebooknya berkata, dia mengecam sekeras-kerasnya tindakan guru yang memberikan lirik lagu terbabit dan menyuruh murid Islam menyanyikan lagu berunsurkan Kristian.

Katanya, dia menganggap perkara itu amat serius dan wajar diambil tindakan segera.

“Saya mendesak pihak sekolah menyiasat segera dan membuat permohonan maaf secara terbuka dengan segera,” katanya dalam coretan di Facebook.

Disiarkan pada: September 6, 2018 @ 11:41pm
d