mutakhir

Bomba selamat anjing jatuh perigi

Oleh Fazrik Kamarudin

SEEKOR anjing diselamatkan sepasukan anggota bomba selepas terperangkap dalam perigi buta berkedalaman 4.6 meter selama dua hari di Kampung Paya Jaras Hilir, Sungai Buluh, malam ini.

Segalanya berpunca apabila seorang penduduk mendengar lolongan anjing itu dari arah belakang rumahnya dan terus mencari punca bunyi itu.

Dia akhirnya menemui anjing terbabit berada di dalam sebuah perigi buta lalu membuat panggilan kecemasan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Buloh Penolong Kanan Penguasa Bomba Muhammad Hazrin Zulkifli berkata, pihaknya menerima panggilan jam 7.38 malam mengenai kejadian itu.

“Apabila sampai di lokasi, anggota bomba mendapati ada seekor anjing di dalam sebuah perigi yang dianggarkan sedalam empat ke lima meter.

“Anggota kemudian terpaksa menggunakan tali untuk menyelamatkan anjing itu kerana saiz perigi yang agak sempit.

“Sebaik diselamatkan, anjing itu dibersihkan sebelum dilepaskan ke kawasan yang selamat,” katanya ketika dihubungi.

Katanya, anjing itu berada di dalam keadaan lemah selepas dipercayai berada di dalam perigi buta itu sejak dua hari lalu.

“Keprihatinan penduduk kampung terhadap anjing itu perlu dipuji kerana tindakan mereka menghubungi pihak bomba berjaya menyelamatkan haiwan terbabit,” katanya.

Disiarkan pada: September 6, 2018 @ 11:59pm
d