mutakhir

Polis langgar motosikal

Oleh Faris Fuad

KERETA peronda polis hilang kawalan dan melanggar motosikal di Lebuhraya SPRINT berdekatan Plaza Tol Duta, Kuala Lumpur, malam tadi.

Kejadian itu yang berlaku pada 11.05 malam menyebabkan mangsa yang juga lelaki tempatan berusia 27 tahun cedera di bahagian kepala dan dahi.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan (JSPT) Kuala Lumpur, Superintendan Sarifudin Mohd Saleh berkata, pemandu bersama seorang penumpang kereta itu terdiri daripada anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Ketika itu, katanya, dua anggota itu dalam perjalanan ke IPD Sentul selepas selesai tugas mereka sebelum pemandu mengubah laluan jalan kenderaan ke bahagian kiri dan bergesel dengan kereta lain.

"Sejurus itu, kereta peronda itu hilang kawalan dan melanggar motosikal itu.

"Laporan polis sudah dibuat dan kes disiasat mengikut Rule 6 (2) LN 166/59 kerana kecuaian mengubah laluan sehingga menyebabkan kemalangan," katanya pada NSTP, hari ini.

Disiarkan pada: September 7, 2018 @ 9:34am
d