mutakhir

Lapor kes jenayah terus ke hotline

Oleh Siraj Mohd Zaini

Shah Alam: Orang ramai kini boleh melaporkan secara terus kejadian jenayah di kawasan masing-masing menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) atau aplikasi WhatsApp di talian hotline, 012-600 9999.

Ketua Polis Selangor Datuk Mazlan Mansor berkata, selain menyalurkan kejadian jenayah, talian yang diperkenalkan Polis Selangor turut membolehkan orang ramai membuat semakan status aduan dan perkembangan siasatan polis terhadap laporan mereka.

“Orang ramai boleh menyalurkan sebarang kejadian jenayah di kawasan mereka seperti judi atau jenayah lain menerusi talian ini.

“Bagaimanapun, polis tidak melayan sebarang panggilan telefon menerusi talian ini, mereka yang melaporkan kejadian jenayah juga tidak perlu bimbang kerana semua maklumat dan butiran mereka dirahsiakan,” katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Selangor di sini, semalam.

Dalam perkembangan
berasingan, polis negeri itu melakukan 1,429 serbuan terhadap premis barang lusuh di negeri itu sejak Januari hingga 17 Ogos lalu, yang dipercayai menjadi tempat penjenayah melupuskan hasil kegiatan jenayah mereka.

Mazlan berkata, daripada serbuan berkenaan, 413 tindakan saman mengikut Seksyen 6 Akta Barang-Barang Lusuh dan Terpakai 1946 (Akta 189) dikenakan terhadap pengusaha premis barang lusuh yang tidak mempunyai lesen perniagaan sah.

“Selain tindakan saman, kita turut menahan pengusaha premis barang lusuh di Ara Damansara, Petaling Jaya dan menemui sejumlah 85 kabel Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang dilaporkan hilang pada 26 Julai lalu,” katanya.

Disiarkan pada: September 7, 2018 @ 11:40am
d