mutakhir

Bekas komando sakit perlu bantuan

Oleh Mohd Khidir Zakaria

Port Dickson: Dahulu dia pernah menabur bakti demi ibu pertiwi sebagai anggota Regimen Gerak Khas (RGK), namun sekarang hidup serba kekurangan akibat ditimpa pelbagai penyakit.

Bekas komando, Zakaria Wahab, 60, mengalami masalah mata rabun, kencing manis dan batuk kering sejak dua tahun lalu dan kini tidak lagi mampu bekerja.

Lebih malang, bapa tunggal tujuh anak itu turut menanggung seorang anak lelaki yang mengalami masalah buah pinggang kronik.

“Saya menamatkan perkhidmatan pada 1999 selepas berkhidmat selama 21 tahun dalam tentera.

“Siapa sangka kalau dulu saya kuat tetapi sekarang tidak lagi mampu melakukan pekerjaan akibat pelbagai penyakit,” katanya ketika menerima kunjungan Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Danyal Balagopal Abdullah di rumahnya di Kampung Telok, Pasir Panjang, semalam.

Dia yang lebih mesra dengan panggilan Pak Ya Komando berkata, isterinya meninggal dunia 11 tahun lalu akibat masalah buah pinggang dan kini anak lelaki ketiganya, Mohd Nor, 32, pula menghidap masalah sama.

“Kalau dahulu saya mampu lagi melakukan pekerjaan sebagai jurulatih di syarikat konsultan tetapi sekarang terpaksa bergantung bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM200 sebulan,” katanya.

Menurutnya, dia menerima pencen RM1,200 sebulan namun terpaksa membayar hutang pinjaman bank lebih RM800 dan hutang ceti RM200 setiap bulan.

“Hutang bank itu akan habis pada 2024 manakala hutang ceti sudah menjangkau RM8,000. Semua duit ini saya pinjam semata-mata untuk merawat isteri dan anak yang memerlukan belanja besar.

“Saya pernah cuba meminta bantuan Baitulmal tetapi tidak lulus kerana mempunyai pencen namun hakikatnya ia habis untuk bayar hutang,” katanya.

Zakaria berkata, dia bernasib baik kerana anaknya membantu biarpun hidup mereka sendiri sederhana kerana Mohd Nor memerlukan belanja perubatan sekurang-kurangnya RM600 sebulan.

“Saya berharap mendapat bantuan tambahan daripada Persatuan Veteran Angkatan Tentera (PVATM) atau pihak lain yang sudi membantu kerana saya tidak berdaya lagi.

“Ada yang mempersoalkan kenapa saya pinjam dengan ceti. Saya memerlukan wang segera untuk rawatan anak. Tak sangka pula pinjam sedikit demi sedikit dan kini mencecah lebih RM8,000, tetapi saya terpaksa,” katanya.

Disiarkan pada: September 7, 2018 @ 11:47am
d