mutakhir

JKDM rampas rokok, arak RM10 juta [METROTV]

Oleh Nor Azizah Mokhtar

JABATAN Kastam Diraja Malaysia (JKDM) berjaya mematahkan dua cubaan menyeludup rokok dan minuman keras dengan nilai dan cukai dianggarkan RM10 juta menerusi Pelabuhan Klang, Ahad lalu.

Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan/Pematuhan), Datuk Seri Zulkifli Yahya berkata, rampasan pertama membabitkan lori kontena dipandu lelaki tempatan berusia 36 tahun di Lebuhraya Pulau Indah, Pelabuhan Klang.

Katanya, pemeriksaan pada lori kontena itu menemui 10.5 juta batang rokok putih jenama U2 Full Flavour dengan nilai dan cukai dianggarkan RM8 juta.

"Tidak jauh dari lokasi pertama, satu lagi pasukan penguatkusaan kastam menahan sebuah lagi lori kontena dipandu lelaki tempatan berusia 48 tahun.

"Hasil pemeriksaan didapati ia membawa muatan 1.8 juta batang rokok jenama Dinx dan 2,600 liter minuman keras dengan nilai dan cukai dianggarkan RM2 juta," katanya pada sidang media di Kompleks Kastam Kuala Lumpur, di Petaling Jaya, hari ini.

Katanya, kejayaan kedua-dua rampasan itu adalah hasil risikan dan maklumat orang ramai yang diterima oleh pasukan Penguatkuasaan Kastam Zon Tengah dari Unit 1 Kuala Lumpur.

Menurut Zulkifli, siasatan mendapati kedua-dua kontena terbabit dibawa masuk melalui Pelabuhan Utara, Pelabuhan Klang dari Singapura dengan menggunakan manifes yang diikrarkan sebagai 'used auto parts' (alat kenderaan terpakai).

"Kita masih menjalankan siasatan bagi mengesan dalang utama kedua-dua penyeludupan itu, namun kita percaya rokok buatan Vietnam dan arak buatan India itu adalah untuk pasaran sekitar Lembah Klang.

"Kedua-dua pemandu lori kontena itu kini direman selama lima hari mengikut Seksyen 135 (1)(e) Akta Kastam 1967 kerana mengangkut barangan larangan kastam.

"Kedua-dua dijangka akan dituduh di mahkamah minggu hadapan," kata Zulkifli lagi.

Dalam pada itu, pihaknya memohon kerjasama daripada orang awam untuk menyalurkan sebarang maklumat berhubung kegiatan penyeludupan dengan menghubungi JKDM di talian 03-78036568 atau talian bebas tol kastam 1-800-88-8855.

"Kita memberi jaminan bahawa identiti setiap pemberi maklumat akan dirahsiakan.

"Pemberi maklumat berdaftar akan diberi ganjaran dalam bentuk wang tunai bagi setiap maklumat yang berjaya menghasilkan kes," jelas beliau.

Disiarkan pada: September 7, 2018 @ 12:29pm
d