mutakhir

Didenda RM30,000 kerana Milo ais RM3.20

Oleh Mohd Nazllie Zainul

PEMILIK restoran didenda RM30,000 atau enam bulan penjara oleh Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu hari ini atas kesalahan menjual Milo ais pada harga tidak munasabah.

Difahamkan, ia kes kes pertama seumpamanya yang melalui perbicaraan penuh mahkamah di negara ini.

Hakim Egusra Ali menjatuhkan hukuman itu terhadap Shihan Mohd Salim, 28, pemilik premis Anak Mami The Restaurant 3, di Kota Kinabalu, selepas mahkamah memutuskan pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie ke atasnya.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 21(5) Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 kerana gagal mematuhi arahan pihak berkuasa yang dikeluarkan mengikut Seksyen 21(2) Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 untuk melengkapkan maklumat serta mengemukakan resit jualan antara Januari 2015 sehingga Mac 2016 bagi minuman Milo ais.

"Selain itu, tertuduh tidak dapat menunjukkan invois belian bagi produk Milo, susu dan ais selain tanda harga minuman berkenaan bagi tempoh sama dalam masa tujuh hari bekerja bermula 9 Mei 2016.

Tertuduh yang diwakili peguam PJ Pereira, kali pertama didakwa di mahkamah pada 24 Oktober 2016.

Pendakwaan kes dikendalikan Pegawai pendakwa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Geoffery Gumalang dan Azmil Aspara.

Sementara itu, Timbalan Pengarah KPDNHEP Sabah V Ravichandran, dalam sidang media berkata, peniaga berkenaan didapati menjual Milo ais di premisnya dengan harga RM3.20 segelas dan harga itu dirasakan agak mahal oleh pengguna sebelum aduan dibuat pada 7 Mac 2016.

Sehubungan itu, beliau berharap peniaga atau pemilik premis makanan mengambil iktibar daripada kes terbabit dan tidak meletakkan harga terlalu tinggi bagi setiap menu yang dijual.

"Saya juga menasihatkan pengguna supaya melaporkan terus kepada KPDNHEP jika ada sebarang keraguan berkaitan harga barangan yang dibeli termasuk makanan serta minuman," katanya.

Disiarkan pada: September 7, 2018 @ 4:43pm
d