mutakhir

Pasangan kembar dan adik-beradik jadi tumpuan

Oleh Zuhainy Zulkiffli

SERAMAI lapan pasangan kembar termasuk dua dari China antara penuntut baharu yang mencuri tumpuan di Majlis Sambutan Siswa, Universiti Sains Malaysia (USM), hari ini.

Tidak ketinggalan pasangan adik-beradik yang turut menyambung pengajian dalam bidang sama di universiti berkenaan.

Pasangan kembar dari Alor Setar, Kedah Nurulhuda Mohamad Khamis, 19, dan Nurulizzah berkata mereka berasa teruja dan bersyukur ketika pertama kali menjejakkan kaki ke universiti.

Nurulhuda berkata, mereka membuat permohonan bagi menyambung pengajian dalam bidang Farmasi, namun hanya dia yang dapat tempat bagi mengikuti pengajian itu manakala kembarnya pula dalam bidang Sains (Matematik).

Namun bagi Nurulizzah, walaupun berbeza bidang pengajian ia dianggap sebagai cabaran dan tidak sabar hendak meneroka alam pengajian di universiti.

“Sejak kecil kami berada di kelas dan sekolah yang sama, malah turut berkongsi buku serta belajar bersama.

“Tetapi di universiti, kami akan 'berpisah' fakulti dan mungkin ia dapat membentuk diri supaya tidak terlalu bergantung antara satu sama lain,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Pasangan kembar lain ialah Noor Farah Ramlan, 19, dan Noor Sarah, penuntut Sains Gunaan (Biologi); Tan Si Hwa, 19, dan Tan Si Jie, penuntut Teknologi Industri (Makanan); M Sharan, 19, dan Shaarvin, penuntut Perakaunan serta S Roshini, 19, dan Rohini masing-masing penuntut Perakaunan dan Pengurusan.

Manakala dua pasangan kembar dari China adalah Tian Yujia dan Tian Yuxin (Bahasa Inggeris Bagi Profesional) serta Li Shi Ying dan Li Shi Yun (Sains Komputer dan Bahasa Inggeris Bagi Profesional).

Sementara itu, pasangan adik-beradik, Farihah, 37, dan Faizatul Akmal Abdullah, 31, berkata ia adalah hasrat arwah bapanya, Abdullah Che Ahmad apabila mahu mereka menyambung pengajian dalam bidang Seni Halus (Lakonan dan Pengarahan).

Kata Farihah, berdasarkan pengalaman lebih 20 tahun dalam bidang seni dan belakang takbir, mereka menyambung pengajian dalam bidang itu.

“Namun, dia terlebih dulu meninggalkan kami akibat serangan jantung pada 2015 dan sejak itu kami tidak berputus asa cuba membuat permohonan di semua universiti.

“Dengan pengalaman yang ada, kami berharap dapat berkongsi bersama penuntut lain serta mahu belajar ke peringkat tertinggi,” katanya lagi.

Pada majlis berkenaan, seramai 3,221 penuntut baharu pelbagai program Pengajian Ijazah Sarjana Muda sepenuh masa di kampus induk melafazkan ikrar dengan disaksikan Naib Canselor USM Prof Datuk Dr Asma Ismail.

Dalam sidang 2018/2019 itu, seramai 768 penuntut juga mendaftar di Kampus Kejuruteraan Nibong Tebal dan 626 penuntut lagi di Kampus Kubang Kerian, Kelantan.

Disiarkan pada: September 7, 2018 @ 8:50pm
d