mutakhir

Memang dasar 'buta perut'

Oleh Mohd Hilmie Hussin

PENYAMUN bertindak di luar batasan apabila mencederakan selain memaksa pasangan warga emas menelan pil tidur dalam kejadian samun di Kampung Pernu, Merlimau, semalam.

Akibat itu, Alias Simin, 67, dan isterinya, Mariam Mahmud, 66, tidak sedarkan diri selama kira-kira 18 jam selepas kejadian.

Saksi kejadian yang juga anak saudara mangsa, Mohd Norsham Majid, 33, berkata penyamun dilihat berada di dalam rumah mangsa sejak jam 6.50 petang semalam.

Menurutnya, dia langsung tidak mengesyaki perkara buruk dengan beranggapan individu terbabit mungkin kenalan ibu saudaranya.

“Rumah saya dengan rumah Mak Long (Mariam) hanya bersebelahan dan saya melihat ada sebuah kereta Perodua Axia berwarna perak diparkir di garaj depan rumah.

“Malah, ketika melalui rumah Mak Long, saya ternampak kelibat mereka yang memakai baju putih dan berkopiah sedang duduk di sofa. Saya pun tidak mengesyaki apa-apa,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, hari ini.

Katanya, isterinya ada memberitahu terdengar bunyi pintu kereta ditutup kuat sebelum kenderaan itu beredar selepas 10 minit dia keluar membeli juadah untuk makan malam.

“Sejurus pulang dari kedai dan meletakkan kereta di garaj, saya terdengar suara Pak Long (Alias) memanggil meminta pertolongan dari arah pintu rumahnya.

“Apabila masuk ke dalam rumah, saya melihat Mak Long dalam keadaan lemah tidak bermaya terbaring di atas lantai depan pintu rumah dalam keadaan terikat.

“Kedua-dua mereka (mangsa) memberitahu diacu pisau, dipukul, diikat dan dipaksa menelan pil tidur oleh penjenayah berkenaan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, pasangan terbabit sudah kembali sedar, namun masih dirawat di Hospital Melaka.

“Berdasarkan siasatan awal, suspek dipercayai lebih daripada seorang dan menggunakan pisau pemotong sayur untuk mengugut mangsa sebelum melakukan rompakan.

“Kedua-dua mangsa diikat sebelum dipaksa menelan masing-masing tiga biji pil tidur bersaiz besar dan kecil menyebabkan mereka tidak sedarkan diri. Wang tunai RM3,000 dan dua telefon bimbit turut hilang,” katanya ketika dihubungi.

Katanya, setakat ini tiada tangkapan dilakukan dan kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun berkumpulan dan bersenjata.

Disiarkan pada: September 7, 2018 @ 9:58pm
d