mutakhir

Denda RM1,000 tumbuk cermin kereta TPM

Oleh Faris Fuad

LELAKI yang ditahan polis selepas menumbuk cermin kereta Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur, kelmarin, diarah membayar denda berjumlah RM1,000.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Superintendan Noor Azmi Yusoff berkata, denda itu dibayar suspek selepas dituduh di Mahkamah Majistret Jenayah 1, Kompleks Mahkamah Jalan Duta, Kuala Lumpur, semalam.

"OKT (orang kena tuduh) sudah bayar denda RM1,000.

"Dia dituduh di kompleks mahkamah berkenaan, tidak direman,” katanya pada NSTP, hari ini.

Dalam kejadian 3.30 petang itu, kereta yang dipandu pemandu peribadi Timbalan Perdana Menteri terbabit dalam kemalangan dengan kenderaan suspek.

Noor Azmi berkata, suspek yang juga pemandu van tidak berpuas hati kerana kenderaannya dilanggar sebelum menumbuk cermin hadapan kereta Timbalan Perdana Menteri.

Berita berkaitan:

Lelaki ditahan tumbuk cermin kenderaan TPM

Disiarkan pada: September 8, 2018 @ 10:52am
d