mutakhir

Polis serbu dua premis judi online

Oleh Faliq Lajim

POLIS menahan enam individu, termasuk seorang warga asing selepas dipercayai terbabit kegiatan judi siber di dua premis di sekitar Seksyen 27, Shah Alam, malam tadi.

Kesemua mereka ditahan dalam operasi Judi Online (JOL) bermula pada 10 malam tadi dan berakhir 2 pagi, hari ini.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, serbuan dilakukan hasil risikan dan pemantauan berdasarkan maklumat orang awam.

“Dalam sebuan pertama, pasukan khas polis Shah Alam menahan seorang lelaki warga Bangladesh. Dalam serbuan itu juga, kami turut merampas telefon bimbit dan juga wang tunai RM200.

“Dalam serbuan kedua pula, kami menahan lima lelaki warga tempatan dan turut merampas lima buah tab, satu modem dan wang tunai RM370 yang dipercayai digunakan untuk aktiviti perjudian di premis itu,” katanya.

Beliau berkata, bagi membanteras aktiviti ini, satu pasukan khas yang terdiri daripada anggota dan pegawai polis di pelbagai bahagian dalam pasukannya juga ditubuhkan.

“Serbuan ini menunjukkan bahawa polis IPD Shah Alam memandang serius akan isu judi dalam talian di sekitar daerah ini.

“Kita tidak akan berkompromi dengan mana-mana sindiket judi dalam talian cuba beroperasi di kawasan Shah Alam,” katanya.

Disiarkan pada: September 8, 2018 @ 12:11pm
d