mutakhir

'Tak sangka Mr Tan tunggu saya'

Oleh Meor Riduwan Meor Ahmad dan Esther Landau

“Saya tak sangka Mr Tan (Tan Chee Teong) tunggu saya. Kalau tahu, saya akan datang awal sedikit,” kata calon Pakatan Harapan (PH) bagi pilihan raya kecil (PRK) Balakong daripada DAP, Wong Siew Ki, ketika meninjau pusat mengundi di Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Batu 11, hari ini.

Menurutnya, beliau lewat hadir kerana sedang menunggu laporan daripada 15 pusat pengundian lain bagi memastikan proses mengundi berjalan lancar.

"Tadi saya sedang dapatkan laporan daripada pusat pengundian lain untuk pastikan semua berjalan lancar sebelum datang ke sini.

"Ini pusat pengundian pertama yang saya kunjungi, sampai sekarang semua pusat pengundian 'ok'," katanya kepada pemberita.

Mengenakan baju kemeja putih lengan panjang dan berseluar panjang hitam, Siew Ki yang terkenal dengan senyuman, memberitahu beliau berasa amat gembira hari ini dan berharap keputusan undian memihak dirinya.

"Hari ini saya rasa sangat gembira dan harap lepas ini akan rasa bangga," katanya lagi.

Sementara itu, Naib Ketua Wanita DAP Bahagian Serdang itu turut menasihati pengundi supaya mengambil peluang cuaca baik untuk segera keluar mengundi.

Katanya, beliau teruja melihat jumlah undi agak banyak di dalam dua peti undi dalam tempoh kurang dua jam berbanding jangkaan awal.

"Saya rasa masih awal dan mengajak semua orang keluar mengundi. Jangan tunggu sampai lewat.

"Saya hanya lihat dua peti undi sahaja. Sekarang cuaca masih baik, saya bimbang sebab dua tiga hari ini, hujan pada tengah hari.Jadi datanglah mengundi kerana cuaca masih baik," katanya yang turut bersalaman dengan Chee Teong.

Kata Siew Ki beliau tidak berasa pelik kerana bukan salah seorang pengundi di kawasan itu, tetapi amat teruja untuk melihat namanya dan logo PH di dalam kertas undi.

Sementara itu, Chee Teong berkata, mengakui amat berpuas hati dengan kempen dilakukannya dan menyerahkan nasibnya di tangan pengundi.

Katanya, beliau tidak merasa sebarang tekanan dan berpegang teguh kepada nasihat diberikan ibunya, Lee Saw Wan, 62, dalam berpolitik supaya sentiasa istiqamah dalam perjuangan.

"Ibu berpesan: Hati anda berasa besar, jalan juga luas. Saya tidak rasa sebarang tekanan," katanya.

Terdahulu, Chee Teong yang turut diiringi bapanya, Tan Kim Huat, 65, serta isteri Connie Chin, 38, dan anak perempuan mereka, Tan Jin Suen, 11 dan Tan Jin En, 4, tiba di pusat itu pada 7.30 pagi.

Selain Chee Teong, turut membuang undi di pusat itu adalah isteri serta ibu dan bapanya.

Menurut Kim Huat pula, beliau memberi sokongan penuh kepada anak sulungnya itu memasuki politik sekali gus meneruskan perjuangannya dalam MCA untuk membela rakyat.

"Saya aktif dalam parti MCA pada 1990-an dan pernah menjadi Setiausaha MCA cawangan Batu 11.

"Politik sekarang sangat berbeza, dulu pengundi lihat siapa calon dan parti mana yang bagus sebelum mengundi.

"Sekarang ini, terutama pengundi muda, banyak yang ikut perasaan daripada akal berbanding orang lama," katanya sambil mendakwa anaknya berusaha gigih dalam politik sejak lima tahun lalu.

"Saya perhatikan ketika dia (Chee Teong) mula berkempen memang susah, tapi dengan bantuan rakan-rakan turut berkempen turut membantu," katanya.

Seorang pengundi, Shu Fang, 25, berharap semua janji yang diutarakan calon bertanding dapat dipenuhi apabila dipilih sebagai wakil rakyat hari ini.

"Saya tidak memihak sesiapa tetapi saya hanya mahu calon yang menang pada pilihan raya kali ini untuk memenuhi janji yang dibuat untuk rakyat.

"Kami mahu pentadbiran yang adil dan lebih baik serta meneruskan apa yang dilakukan mendiang Eddie Ng untuk rakyat di sini," katanya yang juga pengurus pemasaran tadika.

Lagi berita PRK Balakong dan Seri Setia

Disiarkan pada: September 8, 2018 @ 1:18pm
d