mutakhir

Peratusan keluar mengundi masih rendah

Oleh Veena Babulal and Siti Nur Mas Erah Amran

SURUHANJAYA Pilihan Raya (SPR) merayu orang ramai supaya menunaikan tanggungjawab mereka sebagai pengundi kerana peratusan mengundi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Balakong dan Seri Setia masih rendah.

Timbalannya, Tan Sri Othman Mahmood berkata, proses pengundian berjalan lancar di semua lokasi.

Sehingga 1 tengah hari ini, peratusan keluar mengundi bagi PRK DUN Seri Setia dan Balakong masing-masing adalah sebanyak 31 dan 28 peratus.

“Diharapkan orang ramai akan keluar awal dan ke lokasi mengundi yang ditetapkan.

“Kita khuatir keadaan cuaca yang kurang menentu menyukarkan proses mengundi walaupun tempoh masa masih panjang.

“Diharapkan media dapat membantu war-warkan kepada masyarakat supaya keluar mengundi dengan segera,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melawat pusat mengundi di Dewan D’Kelana, hari ini.

Terdapat 62,188 pengundi berdaftar bagi kawasan DUN Balakong dan 50,722 pengundi DUN Seri Setia.

PRK DUN Balakong diadakan berikutan kematian penyandangnya Eddie Ng Tien Chee dalam kemalangan jalan raya pada 20 Julai lepas manakala PRK DUN Seri Setia diadakan susulan kematian penyandangnya Prof Dr Shaharuddin Badaruddin pada 2 Ogos lalu akibat kanser usus.

Kedua-dua kawasan tersebut sebelum ini dimenangi oleh PH.

Lagi berita PRK Balakong dan Seri Setia

Disiarkan pada: September 8, 2018 @ 1:46pm
d