mutakhir

Nafi terima RM9.5 juta daripada Najib

Oleh Wartawan NSTP

PEGUAM Tan Sri Dr Muhammad Shafee Abdullah menafikan beliau menerima bayaran RM9.5 juta daripada akaun bank peribadi milik Datuk Seri Najib Razak.

Dalam kenyataannya, Muhammad Shafee berkata, terdapat dakwaan bahawa beliau menerima bayaran itu sebanyak dua kali iaitu RM4.3 juta dan RM5.2 juta melalui akaun AmIslamic Bank Berhad ketika Najib menjadi Perdana Menteri.

“Dua bayaran itu didakwa sebagai ganjaran untuk saya menjadi pendakwa raya dalam kes rayuan Liwat II membabitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim di Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan

“Saya sudah menafikan tuduhan ini dan direkodkan dalam afidavit pada 3 Ogos 2017 dalam kes saman oleh Anwar di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. Saya masih mengekalkan pengakuan itu dan ia adalah kebenaran,” katanya.

Muhammad Shafee mendakwa bagi tujuan menjadi pendakwa dalam rayuan Liwat II itu, beliau mencadangkan kepada bekas Peguam Negara Tan Sri Gani Patail untuk melakukannya secara pro bono (tiada bayaran).

“Bagaimanapun, Gani berkata perjanjian dibuat perlu antara Kerajaan Malaysia dengan saya. Saya mencadangkan RM1 sebagai bayaran untuk dipertimbangkan dan Gani pula mencadangkan RM1,000 diletakkan.

“Ini disebut dalam perjanjian bertarikh 19 Julai 2013 berhubung perlantikan saya sebagai pendakwa raya. Dokumen ini rahsia seperti yang diperuntukkan di dalamnya,” katanya.

Beliau berkata, Gani Patail dan Datuk Hanafiah Zakaria daripada Jabatan Peguam Negara serta Najib mengetahui berhubung perjanjian itu bahawa secara dasarnya adalah pro bono.

“Untuk rekod, saya tidak pernah mengambil satu sen pun daripada Kerajaan Malaysia atau mana-mana pihak berhubung pembabitan saya dalam pendakwaan ketika rayuan.

“Saya tegaskan sehingga hari ini, RM1,000 itu juga tidak pernah dituntut dan ia boleh disahkan oleh Hanafiah sendiri,” katanya.

Berhubung perlantikannya, Muhammad Shafee mendakwa, Najib tidak berminat dengan idea melantiknya sebagai pendakwa melalui Fiat kerana tidak mahu menyinggung perasaan Gani Patail.

“Malah, Najib paling enggan berbuat demikian. Bagaimanapun Tun Dr Mahathir Mohamad yang menegaskan mahu melantik saya sebagai pendakwa raya khas dalam rayuan Anwar ini.

“Ini adalah kerana beliau (Dr Mahathir) tidak mempunyai keyakinan bahawa Jabatan Peguam Negara dapat mengendalikan rayuan secara cekap. Ini mungkin disebabkan Jabatan Peguam Negara pernah kalah dalam kes Liwat II di Mahkamah Tinggi serta di Mahkamah Persekutuan di dalam Liwat I,” katanya.

Muhammad Shafee berkata, beliau dipanggil pada atau sekitar Jun atau Julai 2013 oleh Dr Mahathir melalui peguam Matthias Chang untuk menghadiri pertemuan di Yayasan Perdana, Putrajaya.

“Kemudian baru saya mengetahui bahawa Najib juga ada dijemput lebih awal untuk bertemu Dr Mahathir. Saya difahamkan bahawa beliau (Dr Mahathir) berjaya memujuk Najib untuk meyakinkan Gani melantik saya dengan cara Fiat sebagai pendakwa raya khas dalam rayuan itu.

“Saya diberitahu berhubung perkara ini selepas Najib meninggalkan Yayasan Perdana oleh Dr Mahathir sendiri. Saya juga dimaklumkan Matthias bahawa perlantikan saya adalah salah satu daripada enam permintaan Dr Mahathir, dan jika ia tidak ditunaikan beliau (Dr Mahathir) akan menentang Najib,” katanya.

Menurutnya dalam tempoh beberapa hari, beliau dihubungi oleh pejabat Dr Mahathir dan pejabat Perdana Menteri supaya menemui Gani memandangkan semua sudah bersetuju dengan perlantikannya itu.

“Saya bertemu Gani dengan kehadiran Hanafiah. Perjanjian bertulis didraf berhubung perlantikan saya. Perjanjian bertulis ini adalah di dalam pengetahuan setiap individu yang mengambil bahagian dalam proses membuat keputusan ini.

“Oleh itu, tiada ada sebarang salah faham bahawa saya harus dibayar bayaran melebihi atau di bawah RM1,000,” katanya.

Disiarkan pada: September 8, 2018 @ 8:28pm
d