mutakhir

Tiga lelaki aktif pecah rumah ditahan

Oleh Mohd Rizal Abdullah

Miri: Intipan selama lebih 10 jam akhirnya membawa kepada penahanan tiga suspek pecah rumah di sebuah rumah di Batu Niah di sini, semalam.

Lelaki masing-masing berusia 20-an itu ditahan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Miri jam 6 pagi selepas mendapat maklumat mengenai kegiatan kumpulan berkenaan.

Menurut sumber, hasil pemeriksaan, polis menemui pelbagai barangan berharga antaranya televisyen, kipas, panel solar dipercayai diperoleh hasil kegiatan haram mereka.

Sumber itu berkata, ketiga-tiga suspek dipercayai aktif dalam kegiatan pecah rumah di sekitar Batu Niah sejak lebih sebulan lalu dan menjadikan kawasan perumahan sebagai sasaran.

“Suspek menjadikan rumah berkenaan sebagai lokasi persembunyian bersama barangan yang dicuri, namun hasil risikan polis berjaya mengesan mereka.

“Polis kemudian melakukan intipan sejak semalam (kelmarin) sebelum menyerbu rumah berkenaan dan menemui pelbagai barangan dicuri kumpulan berkenaan,” katanya.

Disiarkan pada: September 9, 2018 @ 4:04am
d