mutakhir

Gempur tengah lena

Oleh Ruwaida Md Zain

Shah Alam: Seramai 19 pekerja asing ditahan dalam serbuan di penempatan rumah kongsi di tapak pembinaan sekitar Setia Alam, pagi semalam.

Ketika serbuan, sebahagian besar pekerja asing itu tidur, malah ada yang cuba melarikan diri ketika menyedari kehadiran penguat kuasa imigresen di rumah kongsi mereka.

Bagaimanapun, tiada yang bertindak agresif dan Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Selangor menggagalkan cubaan mereka yang mahu melarikan diri.

Pengarah Imigresen Selangor, Mohamad Shukri Nawi berkata, Operasi Mega 3.0 itu bermula jam 1 pagi dan berakhir jam 4 pagi dengan pemeriksaan terhadap 123 warga asing.

“Daripada pemeriksaan itu, 19 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan dengan pelbagai kesalahan.

“Mereka yang ditahan terdiri daripada 16 lelaki dan tiga perempuan membabitkan 15 lelaki dan tiga perempuan warga Indonesia serta seorang lelaki Bangladesh.

“Mereka yang ditahan berusia antara 20 dan 50 tahun,” katanya.

Mohamad Shukri berkata, antara kesalahan dilakukan adalah tiada pas atau permit sah, tinggal lebih masa dan melanggar syarat pas atau permit.

“Kesalahan dikenal pasti mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 15(1)(c) dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

“Mereka dibawa ke pejabat penguat kuasa Jabatan Imigresen Selangor di Shah Alam untuk siasatan.

“Kami juga mengesan majikan yang dipercayai menggajikan PATI ini dan tindakan tegas termasuk mendakwa mereka di mahkamah dilakukan,” katanya.

Disiarkan pada: September 9, 2018 @ 4:09am
d