mutakhir

Bapa melecur selamatkan anak

Oleh Hazsyah Abdul Rahman

LELAKI melecur di belakang badan ketika menyelamatkan anak perempuannya yang sedang tidur dalam bilik selepas rumah mereka terbakar di Kampung Gelam, dekat bandar Sandakan, hari ini.

Dalam kejadian 1.40 pagi itu, Baginda Ismail, 34, dipercayai terkena serpihan bara api namun tidak parah.

Isterinya, Jurnalin Moksan, 33, turut terkena serpihan bara api tetapi hanya cedera ringan di tangan kanan.

Jurnalin berkata, rumah mereka adalah yang pertama terbakar dan ketika itu mereka sekeluarga seramai 12 orang sedang tidur.

"Saya terkejut suami memberitahu rumah kami terbakar dan saya terus mengejutkan semua anak-anak serta ahli keluarga kami yang lain agar segera keluar menyekamatkan diri.

"Kami tidak dapat gunakan pintu depan kerana ketika itu api sudah terlalu marak. Saya kemudian mengambil keputusan masuk ke tandas di belakang rumah lalu memecah dinding dan keluar melalui lubang dinding berkenaan.

"Ketika itu, kami tersedar anak sulung saya berusia 12 tahun sedang tidur di biliknya. Suami saya kemudian masuk semula untuk menyelamatkannya," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, hari ini.

Jurnalin berkata, sejurus kejadian suaminya bergegas ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

"Kami semua tinggal sehelai sepinggang kerana tiada sebarang harta benda dapat diselamatkan," katanya.

Sementara itu, seorang lagi penduduk, Aida Yusuf, 60, hanya mampu menahan sebak dan bersabar apabila rumah mereka terbakar buat kali ketiga.

"Kejadian pertama pada 2003 ketika kami tinggal di Kampung Ramai-Ramai dan kejadian kedua pada 2015 di Kampung Karamunting.

"Kali ketiga, sekarang ini. Setiap kali terbakar, semua barang kami mesti hangus.Tiada yang sempat kami selamatkan.

"Ketika kejadian tadi, makcik cuma sempat bawa beg berisi dokumen penting. Mulanya makcik ingat bunyi bising anak pulang kerja, tapi bila keluar rumah, api sudah besar," katanya.

Aida berkata, dia sangat berharap diberikan rumah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) kerana mereka tidak pernah diberikan walaupun menjadi mangsa kebakaran sebanyak dua kali sebelum ini.

Sebanyak 35 rumah papan musnah dalam kebakaran itu.

Berita berkaitan:

35 rumah papan hangus

Disiarkan pada: September 9, 2018 @ 10:30am
d