mutakhir

Tendang, pukul bomba padam api [METROTV]

Oleh Hazsyah Abdul Rahman

ANGGOTA bomba tiba-tiba ditendang dan dipukul lelaki tidak berbaju ketika operasi memadam kebakaran di Kampung Gelam, Sandakan, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 2 pagi itu, mangsa yang berusia 30 tahun bagaimanapun tidak mengalami kecederaan serius dan dapat meneruskan tugasan selepas lelaki terbabit ditahan.

Ketika kejadian, anggota bomba terbabit sedang memadam kebakaran menggunakan paip bomba sebelum seorang lelaki tiba-tiba datang menendang dan memukul mangsa sehingga keadaan menjadi kecoh.

Orang ramai yang berada di kawasan berhampiran bagaimanapun bertindak segera meleraikan kejadian dan anggota bomba berkenaan dengan tenang menyambung semula tugasannya.

Difahamkan, suspek yang tidak memahami kerja bomba dipercayai tidak berpuas hati apabila rumahnya lambat disimbah air sehingga terbakar.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner Mohd Azhar Hamin ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian berkenaan.

"Suspek lelaki itu sudah ditangkap dan kita akan mendapatkan perintah reman pada hari ini.

"Siasatan diteruskan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana mengganggu penjawat awam menjalankan tugas.," katanya.

Dalam kejadian itu, kira-kira 35 rumah papan musnah terbakar di kampung terbabit.

Berita berkaitan:

35 rumah papan hangus

Disiarkan pada: September 9, 2018 @ 11:09am
d